Apabila orang bujang membeli rumah, proses membuat keputusannya senang sahaja kerana cuma ada satu kepala, kehendak, dan keutamaan. Lain pula ceritanya apabila pasangan yang baru berkahwin membeli rumah.

1) Ukur Baju di Badan Sendiri

Ya, ukur baju di badan pengantin sendiri dan bukan di badan rakan anda. Kebiasaannya, ramai orang akan menasihatkan anda untuk memilih lokasi yang bersesuaian dengan keperluan anda sebagai pengantin baru yang belum mempunyai anak, tetapi saya menasihatkan anda supaya mengukur kemampuan kewangan anda terlebih dahulu. Pasangan yang sudah berkahwin boleh mendapatkan nisbah khidmat hutang (DSR) yang lebih tinggi dengan membuat pinjaman bersama. Pertama sekali, semak berapa jumlah pinjaman yang boleh anda dapatkan untuk membeli rumah. Semak jumlah untuk pinjaman secara individu dan pinjaman secara bersama untuk mengetahui kemampuan kewangan anda yang sebenarnya. Untuk mengetahui jumlah tersebut, anda boleh berjumpa dengan pihak bank. Sebaik-baiknya, jumlah bayaran ansuran bulanan kepada pihak bank tidak melebihi 20% gaji bulanan anda. Dengan menetapkan bajet anda berdua untuk sebuah rumah, ia boleh membantu anda dan pasangan untuk mengawal perasaan supaya tidak membuat keputusan yang akan membebankan anda berdua di kemudian hari.

2) Sediakan Kewangan

Anda perlu mempunyai wang simpanan berjumlah sekurang-kurangnya 15% daripada harga rumah yang ingin anda beli. Kebiasaannya, anda akan perlukan 10% sebagai wang pendahuluan dan 5% lagi untuk menanggung yuran guaman dan kos-kos pemindahan milik yang lain. Untuk mendapatkan wang pendahuluan sebanyak 10% mungkin sedikit sukar buat pasangan yang baru berkahwin, terutamanya jika telah banyak berbelanja untuk majlis perkahwinan. Elakkan daripada membuat pinjaman peribadi untuk menanggung kos ini.
Anda masih mempunyai pilihan lain, iaitu mengeluarkan wang KWSP anda untuk membayar kos tersebut, tetapi anda perlulah berunding dengan pemilik rumah tersebut, kerana wang KWSP hanya boleh dikeluarkan selepas anda menandatangani perjanjian jual beli. Ataupun, anda boleh mencari rumah yang ditawarkan oleh pemaju dengan bayaran deposit yang rendah.

Pasangan yang sudah berkahwin boleh mendapatkan nisbah khidmat hutang (DSR) yang lebih tinggi dengan membuat pinjaman bersama.

3) Tentukan Keutamaan

Tentukan keutamaan dan keinginan anda berdua. Ada dua pekara yang anda boleh lihat, iaitu saiz rumah yang anda perlukan dan kawasan kejiranan yang sesuai dengan anda. Adakah jalan untuk menuju ke kawasan kejiranan tersebut selalu sesak? Adakah kemudahan awam yang ada di kawasan tersebut bersesuaian dengan keperluan anda dan pasangan? Misalnya, jika anda berkereta dan pasangan anda tidak berkereta, dan pasangan anda perlu menaiki tiga buah bas untuk ke tempat kerja setiap hari, ia akan menyukarkan hidup anda berdua. Senaraikan keutamaan anda dan keutamaan pasangan, dan pilih beberapa kawasan yang berada dalam radar keutamaan anda berdua.

 

4) Buat Kajian

Cari rumah dalam lingkungan bajet anda berdua. Senaraikan rumah di sesuatu kawasan mengikut harga, daripada yang terendah sehinggalah yang tertinggi yang mampu anda miliki. Senaraikan kemudahan asas yang terdapat di kawasan tersebut dan jenis pegangan hartanah tersebut, sama ada pajakan atau bebas. Maklumat ini anda boleh dapatkan dengan mudah di internet.
Selepas situ, anda boleh tentukan dengan bijak dan cermat di mana wujudnya rumah yang terbaik untuk anda, untuk mengelakkan akal anda berdua dikaburi emosi. Contohnya, anda sudah menyenaraikan dua buah rumah yang harganya sama, tetapi sebuah berpegangan bebas dan sebuah lagi berpegangan pajakan. Entah mengapa, anda berdua suka rumah pegangan pajakan itu. Dengan merujuk pada senarai anda, sudah tentu rumah pegangan bebas lebih baik. Kebanyakan pasangan yang ingin membeli rumah mudah mengikut perasaan, jadi benda yang terbaik yang boleh anda lakukan adalah mengikut panduan bajet anda. Kemudian, apabila keadaan kewangan anda semakin stabil atau keluarga anda sudah membesar, anda boleh menaik taraf gaya kehidupan anda.

Untuk mendapatkan wang pendahuluan sebanyak 10% mungkin sedikit sukar buat pasangan yang baru berkahwin, terutamanya jika telah banyak berbelanja untuk majlis perkahwinan.

5) Buat Keputusan

Hubungi perunding hartanah untuk melihat rumah yang anda ingin beli. Tetapkan temu janji. Persediaan yang anda berdua buat sebelum ini akan membantu anda membuat keputusan dengan lebih pantas apabila mempunyai tawaran yang baik.
Mengapakah anda perlu membuat keputusan dengan pantas? Di sesetengah kawasan, persaingan untuk mendapatkan rumah adalah tinggi, dan kemungkinan untuk anda terlepas tawaran tersebut juga adalah tinggi. Apa yang perlu anda lakukan ketika melihat rumah? Pertama, anda perlu melihat keadaan rumah tersebut. Adakah kerosakan? Jika ada kerosakan, cuba berunding untuk mendapatkan harga yang lebih murah atau minta pemilik tanggung kos pembaikan. Jika anda jenis orang yang teliti dan pasangan anda jenis yang pandai berunding, gunakan kekuatan masing-masing.

 

Senaraikan keutamaan anda dan keutamaan pasangan, dan pilih beberapa kawasan yang berada dalam radar keutamaan anda berdua.


Oleh: Mohd Ali Majis