Penemuan seorang anak Kuala Lumpur tentang hidup di Seremban.

Saya tidak dapat membayangkan kekentalan akal mereka yang berulang-alik setiap hari dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

Perjalanan sehala sahaja boleh memakan masa lebih sejam. Dua hala? Dua jam lebihlah mereka di dalam kenderaan setiap hari.

Saya cukup bersyukur kerana pejabat saya di Kuala Lumpur terletak hanya lebih kurang 3 km dari rumah keluarga. Mahu pandu kereta boleh, mahu naiki LRT boleh, mahu berbasikal pun boleh.

Bukanlah saya tidak memahami realiti hidup anak-anak negeri adat perpatih.

Koba orang, “Hujan omeh kek nogoghi orang, hujan batu kek nogoghi sendiri, baik lagi nogoghi sendiri.”

Biarpun KL masih menjadi destinasi pilihan anak-anak Negeri Sembilan untuk mengais rezeki dari tahun 80-an hingga kini, ramai daripada mereka yang selesa menetap di Negeri Sembilan.

Manakan tidak, dengan kos sara hidup yang lebih rendah, kos kediaman yang lebih murah, jarak yang lebih dekat dengan ibu bapa dan sanak saudara, serta kelazatan masakan omak, Nismilan sememangnya tidak terbanding dengan Kolumpo!

Hanya satu perkara sahaja sebenarnya yang menjadi hujan batu di negeri itu, iaitu kekurangan peluang dan kepelbagaian pekerjaan.

Sebenarnya, jika saya seorang anak Negeri Sembilan pun, tidak mustahil saya juga akan menyertai lebih 5,000 penduduk Ampangan, Bandar Enstek, Labu, Lenggeng, Mantin, Nilai, Pantai, Pedas, Rantau, Rasah, Senawang, Sendayan, dan Seremban yang berhijrah dua kali sehari itu.

Sebagai orang bujang, banyak wang yang saya boleh jimatkan jika bermotor atau menaiki kenderaan awam.

Jika ditanya pendapat diri saya sebagai orang Kuala Lumpur beberapa tahun lalu sama ada hidup berulang-alik seperti itu sanggup saya jalani, saya akan menjawab, tidak sesekali.

Akan tetapi, semenjak dua tiga tahun lepas, kerja yang memerlukan saya berulang-alik dari KL ke Seremban membuatkan saya sedar bahawa tidaklah seteruk mana pun perjalanan melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) itu.

Saya juga mendapat tahu bahawa kehidupan di Negeri Sembilan—khususnya di Seremban—tidaklah begitu membosankan seperti yang saya fikirkan. Banyak juga tarikan alam semula jadi dan sukan ekstrem di sana—dua perkara yang saya minati.

Tentang rumah, tidak perlulah dikatakan. Luas belaka! Harganya juga tidaklah semahal di pinggiran KL.

Boleh tahan juga gaya hidup di sana berbanding, contohnya, tempat-tempat lain yang menjadi pilihan pembeli rumah baharu, seperti Bandar Puncak Alam, Bandar Tasik Puteri, Banting, Salak Tinggi, atau Semenyih.

Di sini saya senaraikan beberapa penemuan saya berkenaan Seremban baru-baru ini yang menyebabkan saya berfikir, “Mungkin elok juga untuk membeli rumah di Seremban dan berkerja di KL.”:

1) Ada Lebuh Raya dan Pengangkutan Awam Baharu

Jajaran Lebuh Raya SKLIA yang akan siap pada 2019. Sumber: Planet Jaeger

Jajaran Lebuh Raya SKLIA yang akan siap pada 2019. Sumber: Planet Jaeger

Semua orang tahu, untuk ke Seremban dari KL, mereka boleh menelusuri Lebuh Raya Kuala Lumpur–Seremban (Atau PLUS, pada orang biasa), Lebuh Raya Kajang–Seremban (LEKAS) yang dibuka pada 2008, atau KTM Komuter yang mempunyai hentian di Seremban, Senawang, dan Sungai Gadut.

Apa yang tidak disedari kebanyakan orang ialah kewujudan lebuh raya baharu yang sedang dibina di Seremban dan kawasan sekitarnya.

Bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Lebuh Raya Paroi–Senawang–KLIA–Salak Tinggi (SKLIA) sepanjang 45 km telah diluluskan untuk dibina.

Pembinaan SKLIA asalnya dicadangkan oleh UEM Group Bhd. yang memiliki 51% kepentingan dalam syarikat konsesi lebuh raya PLUS untuk mengatasi kesesakan teruk yang berlaku di PLUS di antara Senawang dengan Nilai pada hujung minggu dan musim perayaan.

Bermula dari Salak Tinggi, lebuh raya itu akan melalui KLIA, Kampung Felda L.B. Johnson, Bukit Nenas, kemudian ke Sendayan, dan seterusnya ke Mambau, Rasah Jaya, Senawang, dan Paroi. SKLIA turut akan bersambung dengan Lebuh Raya Seremban–Port Dickson di Mambau, PLUS di Senawang, dan LEKAS melalui sebuah susur keluar di Paroi yang dikatakan tidak akan bertol.

Dengan kewujudan SKLIA yang dijangka akan siap dibina pada 2019, warga Seremban akan mempunyai jalan alternatif selain PLUS untuk ke Putrajaya, Cyberjaya, Puchong, dan Shah Alam.

Dalam masa dua tahun sahaja lagi, aliran trafik di Seremban akan banyak berubah, dan perjalanan ke tempat kerja bagi banyak orang berkemungkinan semakin singkat.

Sumber: Ho Chin Soon Research

Lokasi stesen HSR ketiga yang dijangka akan dibina di Estet Labu dan Estet Kirby. Sumber: Ho Chin Soon Research

Selain itu, Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur–Singapura juga akan mempunyai hentian di Seremban.

Lokasi stesen itu masih belum ditetapkan buat masa ini, tetapi ia berkemungkinan besar akan dibina di sebelah barat PLUS, di mana masih terdapat banyak kawasan lapang untuk menubuhkan sebuah terminal bersepadu bagi bas, teksi, dan kereta api yang dirancang kerajaan.

Projek berimpak tinggi itu dijangka akan siap menjelang 2026, dan akan mengurangkan masa perjalanan warga Seremban ke Putrajaya, Bandar Malaysia, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri, dan Singapura.

Dengan tempat pekerjaan yang semakin bertambah, inilah sebab utama saya fikir Seremban elok untuk dijadikan tempat tinggal.

2) Banyak Pembangunan Baharu dan Tarikan Alam Semula Jadi

Gugusan Lembah Wawasan Malaysia (MVV), projek mega kerajaan di barat Negeri Sembilan. Sumber: The Straits Times

Gugusan Lembah Wawasan Malaysia (MVV), projek mega kerajaan di barat Negeri Sembilan. Sumber: The Straits Times

Pengalaman saya di Seremban dahulu hanyalah di bandar: Menaiki KTM dari KL Sentral ke Seremban, menziarahi rumah kawan-kawan di Paroi dan beberapa taman perumahan lain, dan menonton wayang tengah malam di Terminal 1.

Kalau ditanya saya pada waktu itu apa yang ada di Seremban, saya akan menjawab, “Tiada apalah.”

Sejak empat tahun lepas, saya sudah banyak kali ke Sendayan dan sudah dua kali ke Kuala Pilah, serta sempat ke Pantai sekali.

Semestinya, sudut pandang saya tentang Seremban dan Negeri Sembilan banyak berubah semenjak itu. Kata orang, tidak kenal, maka tidak cinta.

Melalui ziarah-ziarah saya ke Sendayan, saya menyedari pembangunan Seremban yang sudah padat itu sudah merentasi PLUS ke arah barat.

Bandar-bandar baharu yang cantik, tersusun, luas, dan berpenghuni sudah banyak terbina rupanya di kawasan seperti Sendayan dan Seremban 2.

Rupa-rupanya juga sudah ada Seremban 3 sekarang! Di manalah agaknya mereka akan tempatkan Seremban 4 selepas ini?

Bandar-bandar baharu yang disebutkan saya tadi pun bukanlah tidak mempunyai tarikan langsung.

Di Bandar Seri Sendayan, contohnya, sudah ada Extreme Park atau X Park, sebuah cawangan pusat sukan ekstrem yang popular di Bandar Sunway.

Perlumbaan basikal lasak (BMX) di Extreme Park, Bandar Sri Sendayan.

Warga Seremban tidak perlu lagi ke KL untuk menikmati sukan paintball, go-kart, all-terrain vehicle (ATV), lumba motor lasak (motocross), atau panjat tembok (wall climbing).

Pandai juga pemaju bandar-bandar ini. Mereka sediakan pusat aktiviti dan gaya hidup moden untuk menarik pembeli.

Dalam menghadiri kenduri di Kuala Pilah, saya berkesempatan berlibur ke Taman Rekreasi Ulu Bendul untuk menikmati air terjunnya.

Di Pantai tahun lepas pula, saya mendaki Gunung Berembun yang terletak di Hutan Lipur Jeram Toi, di mana terdapat bangkai kapal terbang yang terhempas dan banyak durian liar untuk dimakan jika sedang musim buah.

Secara keseluruhannya, mulai empat tahun yang lepas, saya mula menyedari kewujudan tarikan-tarikan semula jadi negeri masak lemak cili padi ini.

Sumber: Waterfalls of Malaysia

Lata Kijang, berdekatan Kampung Esok, Jelebu (Jangan keliru dengan Lata Kinjang dekat Chenderiang, Perak). Sumber: Waterfalls of Malaysia

Ia bukan sahaja mempunyai banyak air terjun (cth. Lata Kijang dan Jeram Toi) dan gunung yang merupakan sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa (cth. Gunung Datuk dan Gunung Angsi), ia juga tidak jauh dari lautan biru Selat Melaka di Port Dickson (Sedikit tercemar kalau dibandingkan dengan Laut China Selatan di Pantai Timur yang saya sudah biasa saya nikmati, tetapi laut tetap laut, ya tak?).

Sumber: Nazirulfazri

Pemandangan dari puncak Gunung Datuk. Jelas kelihatan Selat Melaka nan biru. Sumber: Nazirulfazri

Seremban sebenarnya dikelilingi banyak pusat aktiviti dan tarikan alam semula jadi.

3) Rumah Besar-besar

Sebuah taman perumahan baharu di Seremban. Sumber: Residensi SIGC

Sebuah taman perumahan baharu di Seremban. Sumber: Residensi SIGC

Bagi warga KL seperti saya yang perlu meninggalkan sarang burung untuk mencari rumah sendiri dan warga Negeri Sembilan yang mahu menetap di KL, tempat-tempat seperti 16Sierra, Bandar Baru Salak Tinggi, Bandar Elmina, Bandar Saujana Putra, Bandar Puncak Alam, Bandar Putra Permai, Bandar Tasik Puteri, serta Bangi, Cheras, Kajang, dan Semenyih pasti menjadi buah fikiran mereka yang mahukan rumah baharu yang bertanah.

Saiz binaan rumah teres di kawasan-kawasan itu dalam julat 1,200–2,400 kps, manakala ukurannya berbeza-beza; kebiasaannya sama ada 18’ × 60’, 18’ × 80’, 20’ × 70’, 20’ × 75’, 22’ × 70’, 22’ × 80’, atau 24’ × 70’.

Yang berukuran 22’ × 80’ dan 24’ × 70’ itu jarang sangatlah ada. Kebanyakan rumahnya berkeluasan 2,200 kps atau kurang.

Baru-baru ini saya mendapat tahu bahawa ada rumah teres di Seremban yang lebih luas daripada semua itu! Dahsyat sungguh tawaran pemaju di sana.

Di Residensi SIGC, Paroi, rumah terkecil di situ, iaitu rumah teres dua tingkat (4+1B4T), berkeluasan 2,988 kps dan berukuran 24’ × 80’. Ia jauh berbeza dengan tawaran-tawaran pemaju lain. Saiz rumah jenis lain di sana janganlah disebut!

Rumah berkembar dua tingkat berkeluasan 4,054  kps dan berukuran 45’ × 85’ (4+1B5T), manakala rumah banglo dua tingkat pula berkeluasan 5,533 kps dan berukuran 60’ × 105’ (5+1B5+2T).

Setiap bilik cukup luas untuk menempatkan almari, meja kerja, katil ratu, dan barangan peribadi setiap ahli keluarga, daripada keyboard dan gitar Ujang hinggalah kain baju Omak dan peti harta karun Uwan.

Luas bagaikan rumah banglo. Sumber: Residensi SIGC

Luas bagaikan rumah banglo. Sumber: Residensi SIGC

Halaman rumah juga tidak kurang lapangnya untuk satu keluarga bermain badminton bersama-sama.

Tambahan lagi, Residensi SIGC ini terletak bersebelahan dengan Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC), jadi pemandangan daripada tingkap-tingkap rumah di sana tersangat hijau.

Padang rumput dan pohonan rimbun menjadi santapan mata setiap hari, bersama kicauan merdu unggas yang menenangkan hati dan minda.

Mereka yang tinggal bersama ibu bapa yang sudah berumur atau selalu dikunjungi saudara-mara pasti menghargai kewujudan bilik yang boleh memuatkan katil ratu di tingkat bawah.

Ia tidaklah sesempit ‘bilik orang gaji’ yang biasa sangat disediakan pemaju lain. Ibu bapa atau tetamu boleh bertandang dan bermalam di rumah dengan selesa tanpa perlu ke tingkat atas.

Tentunya semua itu datang dengan kos premium, tetapi saya sebagai orang KL tetap kagum (dan masih memasang angan-angan. Insya-Allah, satu hari nanti).

Kesimpulan

Sejak 2009, di mana-mana pun di Malaysia ini, kerap saya mendengar kawan-kawan yang tinggal di luar bandar merungut bahawa harga rumah mahal.

Di Kuala Pilah, seorang kawan memaklumkan saya, harga rumah teres dua tingkat baharu dalam lingkungan RM 400,000–600,000.

Pada saya, orang Kuala Lumpur akan berebut-rebut untuk mendapatkan rumah seperti itu (Jika terletak tepat di KL).

Bukanlah hendak mengatakan yang julat harga itu tidak mahal, tetapi jika kawan saya itu tunggu pun, harga itu belum tentu akan jatuh.

Apa pun, alhamdulillah, beliau dapat membeli rumah berkembar satu tingkat di Jempol pada harga yang lebih murah, iaitu RM 259,000. Rumah empat bilik itu beliau beli pada 2016.

Untuk warga KL yang sudah terbiasa dengan rumah yang kecil, rumah-rumah di luar KL yang luas dan murah semestinya menjadi idaman kalbu. Kekurangannya cuma jaraknya yang ‘jauh’ dengan KL.

Seperti juga ‘murah’, ‘jauh’ ini relatif, sebenarnya.

Kerana itulah saya gunakan ‘boleh tahan’ dalam tajuk artikel ini, dan bukan ‘hebat’ atau ‘seronok’. Semua benda ada pro dan kontranya.

Dalam hal tinggal di Seremban dan kerja di KL, saya nampak bahawa kelebihannya ialah penjimatan kos sewa rumah dan kos makan (Rujuk infografik di atas. Klik untuk besarkan), selain dapat meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga di Negeri Sembilan.

Kekurangannya tentulah kepenatan yang dialami setiap hari kalau tidak biasa atau tidak dapat membiasakan diri berulang-alik tiga atau empat jam sehari.

Dalam hal sewa di KL dan kerja di KL, sememangnya kelebihannya ialah kita tidak terlalu penat berulang-alik ke tempat kerja dan kita mempunyai banyak masa untuk berehat setiap hari.

Kekurangannya pula ialah kos sewa atau rumah yang lebih tinggi dan kekurangan masa bersama keluarga di Negeri Sembilan.

Pada penghujung hari, semuanya bergantung pada prioriti anda. Wang yang dapat dijimatkan boleh disalurkan kepada pelaburan, pendidikan anak-anak, atau kualiti hidup yang lebih baik.

Yang mana satu yang menjadi prioriti anda? Topuk dado, tanyo selegho.

Sedang mencari rumah di selatan Kuala Lumpur untuk membesarkan anak-anak anda dengan selesa atau bersara dengan tenang? Isi borang ini untuk dapatkan tawaran yang ekstra istimewa bagi Residensi SIGC, khas untuk pembaca Prospek Hartanah Malaysia (Terhad pada bulan Mei 2017).